churpchurp!!!!!!

Tuesday, February 1, 2011

Bencana sudah terang...


Matahari mungkin satu-satunya makhluk Tuhan yang paling dirindui ketika ini. Masakan tidak, hampir tiga hari dia menghilangkan diri. Merajuk mungkin dengan keletah manusia. Lalu sebahagian tanah bertuah ini gelap dan basah. Manusia mula tercari-cari sinarnya. Sungguh jika ia berlarutan hingga seminggu, keadaan pasti memburuk, jalan-jalan terputus dan lumpuh. Manusia buntu.

Hampir 48 jam hujan turun menggila, 3 negeri dengan banyak kawasan daerahnya digenangi air. Johor negeriku paling teruk terjejas. Saat aku menulis ini, matahari mula menampakkan diri tapi masih malu untuk bersinar terang. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya, ia berita baik buat mereka yang terjejas dua-tiga hari ini. Berhentilah kau menangis wahai sang awan yang berarak, doaku kepada Sang Penguasa.

Hujan itu rahmat. Tetapi, dengan keadaan dunia yang sakit hari ini dek kerosakkan oleh tangan-tangan manusia durjana, masih relevankah ia (hujan) di anggap sebagai rahmat? Kadang-kala, ia membawa bencana yang tidak disangka. Masih ingat kisah bagaimana umat Nabi Nuh melihat langit bergulung hitam pekat yang disangkakan membawa hujan? Ya, mereka bersorak kerana bagi mereka ia satu rahmat. Ternyata mereka silap, kerana rupanya ia adalah bencana yang dikirim oleh Sang Penguasa ke atas mereka. Bukan aku mengharapkan bala ditimpa, tetapi manusia (kita) sendiri sebenarnya mencari bala. Hingga mengheret orang tidak berdosa terpalit jua. 

Ekosistem dunia kita sudah rosak lalu menghimpunkan ‘kepala-kepala’ dunia duduk bersidang di Copenhagen. Namun, ia gagal kerana keengganan para pelobi untuk menyumbangkan dana bagi memulihkan ekosistem dunia ke arah kesejahteraan umat manusia sejagat . Mereka lokek. Hakikatnya, biarpun berpuluh trillion dibelanjakan demi tujuan tersebut, dunia yang kita huni ini tidak akan kembali kepada keadaan zahiriah asalnya. Itulah nikmat yang paling berharga dan kini ia beransur hilang. Dan masih fikir bumi ini mahu berkawan dengan kita??

Rata-rata kawasan yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini sudah mula tenggelam. Contohnya di Australia, merupakan kecelakaan yang terburuk dalam sejarah negara itu. 





Di Dubai, pulau-pulau buatan mereka juga mula tenggelam berikutan paras air yang meningkat naik. Para pelabur mula tarik diri dek kerugian yang mereka tanggung, dan ada juga yang bunuh diri kerana terbeban.

Rancangan asal seperti ini:



Kesudahannya...? wtf?! you are not God..sorry!



Banjir di beberapa kawasan lain menyebabkan tanaman terjejas teruk menyebabkan harga barangan mula naik di seluruh dunia. Jika di negara luar, kenaikan harga barang makanan sudah cukup membuatkan rakyatnya memberontak dan merusuh di jalanan. Tidak di Malaysia. Mungkin rakyatnya masih rasional atau sudah terlalu kaya. Ya, kita terlalu kaya dan masih menjaga periuk nasi masing-masing.

Di Mesir, hampir 70% rakyatnya hidup di bawah kemiskinan. Sedangkan Hosni Mubarak sudah menjadi presiden selama 3 dekat sejak 1981!. Dan aku masih belum lahir. Jika seorang pemimpin menjawat jawatan tertinggi negara selama itu tetapi masih gagal mengeluarkan rakyatnya daripada kepompong kemiskinan, maka jelas berlaku penyelewengan hingga cukup membuatkan rakyatnya bersatu hati melumpuhkan kerajaan pimpinan Hosni Mubarak dengan tangan-tangan mereka. Siapa kata rakyat tidak mampu meruntuhkan sebuah kerajaan.


Konflik yang berlaku di Mesir tercetus rentetan tumbangnya pemerintah Tunisia di tangan rakyat. Dek kerana terlalu marahnya rakyat kepada sang pemimpin, dan sistem demokrasi sudah tidak boleh dipercayai, maka rakyat menzahirkan segalanya di jalanan. Tujuannya satu, menggulingkan pemerintah yang kejam dan zalim seperti Hosni Mubarak. Bagi aku, apa yang berlaku di Mesir menggambarkan betapa terseksanya rakyat Mesir di bawah pengaruh Hosni Mubarak. Dunia Islam sendiri tahu bahawa beliau merupakan tali barut dan sekutu rapat Amerika dan Israel, hingga tergamak menutup sempadan Rafah di Gaza dan membiarkan rakyat Palestin mati dibunuh oleh rejim zionis pada bulan Ramadan yang mulia tahun 2008. Hari ini, Allah membalas kamu wahai Hosni Mubarak.

Mungkin beliau cuba untuk mendapatkan suaka politik daripada Amerika atau Israel selepas ini. Namun, kedua-dua negara bangsat itu tidak menunjukkan sebarang minat untuk menolong atau menyelamatkan pemerintahan Hosni Mubarak. Ya, itulah tujuan utama Amerika dan Israel. Memancing pemimpin-pemimpin Islam menjadi sekutu rapat dengan sejumlah dana yang besar. Mewah hidupnya hingga rakyatnya miskin melarat. Hingga pada suatu ketika, kemarahan rakyat mula membuak dan pemerintahan menjadi lumpuh. Amerika dan Israel nyata menjadi pemerhati yang setia dan begitu seronok melihat kehancuran sebuah Negara Islam yang pernah menjadi tamadun manusia terawal iaitu Mesir. Syaitan itu hanya menunggu masa yang sesuai untuk menjadi polis dunia dan kononnya pejuang demokrasi dan hak asasi, walhal punya agenda tersembunyi. Sungai Nil menjadi impian Israel sejak dahulu lagi demi memperluaskan wilayah haramnya - Israel Raya.    

Terusan Suez juga menarik perhatian mereka untuk menghubungkan hemisfera utara dan selatan. Begitu juga dengan khazanah tamadun manusia yang sentiasa menjadi idaman mereka. Demi mencapai hasrat mereka, dibiarkan Mesir terus bergolak dan lumpuh. Nyata, Hosni Mubarak sekadar boneka Amerika dan Israel. Dan umat Islam masih buta dalam soal itu. Andai Mesir runtuh, maka ia akan rosak dan terbiar seperti Afghanistan dan Iraq. 





Apa jua alasan dan agenda mereka, pucuk pangkalnya pemimpin itu sendiri yang menjadi puncanya. Berlaku zalim pada rakyatnya hingga Allah sendiri membalasnya. Kelak jangan marahkan Tuhan kerana doa yang tidak makbul atau kenapa orang Islam ditindas. Hakikatnya salahkan diri sendiri kerana Sang Pencipta itu Maha Adil.

p/s: Hancurlah Hosni Mubarak sama seperti Mustafa Kemal Atatürk! …kerana menjadi pengkhianat agama dan tali barut kepada musuh-musuh yang menyekutukan TuhanMu. 

Sunday, January 16, 2011

INTERLOK: malu dengan sejarah sendiri?!

Selepas pandangan para ulama diketepikan, azan beransur-ansur pula disuruh perlahan, kini karya seorang sasterawan telah dibakar. Tiada apa yang meremukkan hati seorang penulis apabila melihat karya tulisannya dibakar. Satu penghinaan.



Perbuatan sesetengah pihak yang berkepentingan sengaja mengheret INTERLOK menjadi modal bicara politik. Kononnya mereka-lah pejuang bangsa. Walhal, menurut penulisnya Datuk Abdullah Hussain; INTERLOK telah diterbitkan 40 tahun dahulu. Ia menjadi isu apabila Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memilih INTERLOK sebagai buku rujukan sastera Tingkatan 5 di sekolah-sekolah.

MIC mula menyuarakan agar INTERLOK ditarik balik kerana berunsur perkauman. Amat lantang bunyinya. Bagai langit mahu runtuh. 

INTERLOK adalah sebuah karya yang memaparkan fakta sejarah kepayahan dan perjuangan dalam hidup. Menariknya, watak Maniam itu sendiri yang berbangsa India dari India Selatan. Dia gembira kerana tidak ada perbezaan kasta di sini (Tanah Melayu/Malaysia). Dia seronok menaiki kapal bersama orang India yang lain dan seronok apabila sampai di Pulau Pinang. Gembira kerana tiada perbezaan kasta!

Novel INTERLOK wajar di baca dengan kejujuran intelektual kerana kisah yang dipaparkan menerusinya adalah fakta sejarah dan tidak menyentuh mana-mana isu perkauman. Menurut sang penulis, di India (terutamanya di India Selatan) masih kuat dengan fahaman ‘paria’. Umum mengetahui, di sana masyarakatnya mengamalkan sistem kasta, dan ‘paria’ membawa perlambangan sebagai bangsa berkasta rendah. Itu sejarah! Lihat sahaja bagaimana keadaan Negara India sekarang. Tidak seimbang antara utara dan selatan. Bangsa mereka hidup dengan membeza-bezakan antara satu sama lain. Maka tidak hairanlah ada segelintir para intelektual dan akademik bangsa India mempertahankan apa yang ditulis dalam INTERLOK. Ia kerana satu sejarah untuk bangsa India itu sendiri.

Semua bangsa perlu belajar sejarah. Kadang-kadang sejarah itu pahit, tetapi ia perlu ditelan kerana satu masa ketikanya dahulu, ia berlaku dan termaktub sebagai sejarah. Jepun contohnya, masih sukar membukukan sejarah mereka sendiri menyerang dan menakluk rantau Asia ketika Perang Dunia ke-2. Kerana apa? Kerana malu dengan sejarah sendiri.

p/s: belajar sejarah dan hormati sejarah…jangan obses dengan sains dan matematik sajo!
   
Related Posts with Thumbnails

Popular Posts

::Sebait kata::

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Awasilah diri kamu daripada berburuk sangka kerana perbuatan itu adalah satu pembohongan besar. Janganlah mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikanlah diri kamu semua bersaudara"


(Riwayat Bukhori dan Muslim)