Selepas pandangan para ulama diketepikan, azan beransur-ansur pula disuruh perlahan, kini karya seorang sasterawan telah dibakar. Tiada apa yang meremukkan hati seorang penulis apabila melihat karya tulisannya dibakar. Satu penghinaan.
Perbuatan sesetengah pihak yang berkepentingan sengaja mengheret INTERLOK menjadi modal bicara politik. Kononnya mereka-lah pejuang bangsa. Walhal, menurut penulisnya Datuk Abdullah Hussain; INTERLOK telah diterbitkan 40 tahun dahulu. Ia menjadi isu apabila Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memilih INTERLOK sebagai buku rujukan sastera Tingkatan 5 di sekolah-sekolah.
MIC mula menyuarakan agar INTERLOK ditarik balik kerana berunsur perkauman. Amat lantang bunyinya. Bagai langit mahu runtuh.
INTERLOK adalah sebuah karya yang memaparkan fakta sejarah kepayahan dan perjuangan dalam hidup. Menariknya, watak Maniam itu sendiri yang berbangsa India dari India Selatan. Dia gembira kerana tidak ada perbezaan kasta di sini (Tanah Melayu/Malaysia). Dia seronok menaiki kapal bersama orang India yang lain dan seronok apabila sampai di Pulau Pinang. Gembira kerana tiada perbezaan kasta!
Novel INTERLOK wajar di baca dengan kejujuran intelektual kerana kisah yang dipaparkan menerusinya adalah fakta sejarah dan tidak menyentuh mana-mana isu perkauman. Menurut sang penulis, di India (terutamanya di India Selatan) masih kuat dengan fahaman ‘paria’. Umum mengetahui, di sana masyarakatnya mengamalkan sistem kasta, dan ‘paria’ membawa perlambangan sebagai bangsa berkasta rendah. Itu sejarah! Lihat sahaja bagaimana keadaan Negara India sekarang. Tidak seimbang antara utara dan selatan. Bangsa mereka hidup dengan membeza-bezakan antara satu sama lain. Maka tidak hairanlah ada segelintir para intelektual dan akademik bangsa India mempertahankan apa yang ditulis dalam INTERLOK. Ia kerana satu sejarah untuk bangsa India itu sendiri.
Semua bangsa perlu belajar sejarah. Kadang-kadang sejarah itu pahit, tetapi ia perlu ditelan kerana satu masa ketikanya dahulu, ia berlaku dan termaktub sebagai sejarah. Jepun contohnya, masih sukar membukukan sejarah mereka sendiri menyerang dan menakluk rantau Asia ketika Perang Dunia ke-2. Kerana apa? Kerana malu dengan sejarah sendiri.
p/s: belajar sejarah dan hormati sejarah…jangan obses dengan sains dan matematik sajo!












No comments:
Post a Comment