churpchurp!!!!!!

Thursday, August 26, 2010

Nuzul Al-Quran



Nuzul Al-Quran merupakan rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW, berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Penurunannya bukanlah sekaligus tetapi berperingkat-peringkat hingga menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada kita hari ini. Dijelaskan bahawa Al-Quran tidak diturunkan sekali gus tetapi beransur-ansur agar hati Nabi Muhammad s.a.w. menjadi kuat dan tegap.

Firman Allah: 
Berkatalah orang-orang kafir, "Mengapa Al-Quran itu tidak diturunkan sekaligus sahaja?", demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dan Kami membacakannya dengan teratur satu persatu. (Al-Furqan: 32)

Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia Al-Quran.

'Al-Quran' bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah Al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘Al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘Al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam Al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam Al-Quran.

Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am: 38) 

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan Al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq.

Firman Allah:
"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya". (Al-‘Alaq: 1-5).

p/s: Orang-orang kafir sekian lama mengkaji Al-Quran, membongkar rahsia yang ada hingga hati-hati mereka terpaut dengan Islam dan beriman kepada Allah. Mengapa tidak kita sendiri sebagai orang Islam?

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Popular Posts

::Sebait kata::

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Awasilah diri kamu daripada berburuk sangka kerana perbuatan itu adalah satu pembohongan besar. Janganlah mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikanlah diri kamu semua bersaudara"


(Riwayat Bukhori dan Muslim)