churpchurp!!!!!!

Friday, July 23, 2010

Jumaat yang berkat dengan 3 kisah 'si buta'

Hari ini bermula dengan amat baik. Hatiku begitu senang dan tenang. Mungkin kerana hari Jumaat yang berkat. Rupanya ada cerita di sebaliknya.

Pakcik yang setia menunggu
Seawal 7.30 pagi, rutin harian bermula ke tempat kerja. Setiap awal pagi, seorang pakcik berpakaian kemas dan berkopiah setia berdiri sambil memegang tongkat, menunggu bas datang menjemput. Ya, dia seorang buta. Beberapa kali aku perasan dia akan berdiri pada waktu yang sama di tempat yang sama sepanjang hari bekerja. Mungkin pakcik itu bekerja di kementerian kerajaan sebagai pekerja OKU. Begitu juga pagi tadi semasa aku hendak ke tempat kerja, pakcik itu masih setia berdiri menunggu bas. Kadang-kadang aku terfikir, andai bas lewat datang atau pun ketika hari hujan, bagaimanakah keadaannya? ....

Semulia hatinya 
Jam 1.00 ptg, aku mula bergerak ke masjid berdekatan untuk Solat Jumaat. Selesai berwudu', aku masuk dan duduk bersila. Beberapa minit kemudian, dua orang sahabat kemas berbaju melayu berjalan seiringan. Seorang memegang erat bahu yang seorang lagi, dengan perlahan mereka melangkah. Ya, kedua-dua mereka buta. Di samping mereka berdua, setia seorang sahabat yang memimpin dan menjadi 'mata' kepada mereka. Mereka duduk bersama. Namun, arah duduk mereka itu sedikit terpesong. Namun, si celik cepat2 membetulkan duduk mereka. Sekali-sekali, si celik menepuk-nepuk belakang si buta. Aku yang duduk di belakang dua baris daripada mereka menyaksikan segala-galanya. Betapa aku berasa sayu melihat mulianya hati sahabat itu...

Membantu tanpa mengira bangsa
Dalam pukul 3.30 ptg, aku ke Bank Islam untuk menguruskan pendaftaran semester baru. Oleh kerana hari ini hari terakhir, ramailah yang menunggu giliran. Aku duduk diam sabar menanti giliran. Kemudian, aku perasan dua sahabat duduk di kerusi bersebelahan. Ya, seorang daripada mereka buta. Badan sedikit gempal bercermin mata hitam. Memerhatikan gerak-geri mereka berdua sudah cukup buat aku mengerti. Si celik sedang membantu sahabatnya yang buta untuk menguruskan proses pendaftaran. Sama ada 1st degree atau post-graduate, aku tidak pasti. Yang jelas, si celik tetap sabar dan tersenyum memimpin lengan membawa sahabatnya yang buta ke kaunter. Satu-persatu diperjelas dan diselesaikannya. Aku perasan, si buta hanya tersenyum dan beberapa kali mengangguk-angguk tanda faham. Ironinya, mereka berlainan bangsa, mungkin juga berlainan agama. Si celik berbangsa Melayu/Islam dan si buta berbangsa Cina. Itu yang indahnya...

Ketiga-tiga kisah ini berlaku di hadapan mataku pada hari yang sama itu hari Jumaat. Dari segi luarannya, ya   mereka buta tetapi semangat mereka  yang aku kagumi. Juga insan-insan di samping mereka yang tidak jemu membantu dan menjadi 'mata' kepada mereka yang buta. Sungguh, hatiku sayu...

Melihat keadaan mereka membuatkan aku menginsafi diri sendiri. Memang benar aku banyak merungut dalam mengejar kesempurnaan dalam hidup. Mungkin Tuhan ingin memperlihatkan kepada aku hari ini, betapa hidup perlu tahu bersyukur. Alhamdulillah...

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Popular Posts

::Sebait kata::

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Awasilah diri kamu daripada berburuk sangka kerana perbuatan itu adalah satu pembohongan besar. Janganlah mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikanlah diri kamu semua bersaudara"


(Riwayat Bukhori dan Muslim)