Allah berfirman bermaksud: ““Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi halal lagi baik; dan jangan kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”
(Surah al-Baqarah, ayat 168)
......................................................................................................................
Tindakan kerajaan Malaysia untuk membatalkan pemberian lesen judi kepada Ascot Sports milik Tycoon Berjaya Group – Tan Sri Vincent Tan dianggap wajar dan tepat. Biarpun terdapat desakan yang pelbagai, kerajaan perlu lebih tegas dengan tindakan yang diambil. Jangan hangat-hangat tahi ayam pula.
Malaysia ini mempunyai masyarakat yang majmuk. Tidak dinafikan, adalah sukar membuat keputusan untuk memuaskan hati semua pihak. Namun keputusan yang diambil adalah yang terbaik buat semua.
Apa alasan sekalipun, apa yang haram tidak perlu di’halal’kan. Ini kerana, ia seperti memberi restu kepada kegiatan tersebut. Pemimpin yang beragama Islam yang dilantik oleh tangan-tangan rakyat perlu sedar diri di mana letak diri kamu, dan amanah apa yang kamu junjung!
Mohamed Nazri patut malu kerana secara terang-terangan bersetuju untuk memberi lesen judi tersebut. Sedangkan Dr. Koh Tsu Koon minta ia ditangguh (Utusan, 19/06/2010).
Aku tidak fikir dengan pemberian lesen judi pertaruhan tersebut mampu memberi kesan yang begitu positif kepada ekonomi sesebuah negara. Mungkin sekadar menguntungkan si broker judi, dan kerajaan mendapat sedikit ‘faedah’ daripada cukai yang dikenakan kelak.
Aku juga tidak fikir dengan adanya lesen judi berstatus ‘halal’ tersebut, akan menyedarkan semua pihak untuk berjudi di saluran yang ‘halal’. Jika diberi, akan wujud juga pusat-pusat judi tanpa lesen. Penyelewengan dan penyalahgunaan lesen tetap akan berlaku juga. Lihat sahaja lesen yang diberi kepada premis-premis perniagaan hari ini. Wujud sebagai spa kecantikan dan rawatan, tapi hakikat di sebalik nama tersebut, rakus membuat perniagaan lain pula – sarang pelacuran. Ironinya, orang yang beragama Islam tanpa segan silu tidak putus-putus berkunjung untuk melanggan pelacur. Sudah bergelar bapa, anak dah ramai, masih ligat melanggan pelacur.
Di premis-premis 4D, TOTO dan sebagainya, pelanggan tetapnya juga orang Islam. Pahit untuk diperkatakan, tetapi itulah hakikatnya. Hari ini bertaruh, besok bertaruh,
lusa bertaruh. Hampir setiap hari menghambakan diri di premis judi. Semakin kaya atau semakin miskin, sendiri fikir..
Agama Islam itu sudah cantik dan hukum-hukumnya sudah jelas dan tidak perlu diperkemaskan lagi. Tetapi malangnya, penganutnya sendiri tidak mengambil pengajaran tersebut. Jika orang Islam sendiri tidak mahu ikut, apakah penganut lain mahu ikut???
Berjudi hanya merosakkan institusi masyarakat itu sendiri. Ia bermula daripada seorang individu. Ketagihan berjudi akan menyebabkan kewangan menjadi sempit. Bagi yang berkeluarga, paling teruk menerima kesan adalah isteri dan anak-anak. Ada yang sanggup bergolok bergadai dek kerana nafsu berjudi. Bila kalah bertaruh, keluarga menjadi mangsa sasaran melepaskan kemarahan. Bila menang, apakah berkat? Sebagai orang Islam dan ketua keluarga, apakah kita tidak sedikit pun rasa bersalah memberi makan pakai kepada anak-anak daripada sumber yang haram?? Apabila keluarga porak peranda, masyarakat itu sendiri akan rosak.
Kita sebagai orang Islam, bukanlah hendak menidakkan hak orang bukan Islam. Sampai ke hari ini pun, kita telah banyak bertolak-ansur. Malah, orang bukan Islam seperti di Malaysia adalah golongan yang dilindungi. Orang Islam yang baik tidak pernah mementingkan diri sendiri (kecuali pemimpin-pemimpin beragama Islam yang punya kepentingan perut atau kocek sendiri!). Cuma hormatilah suara-suara yang tidak mahu perkara yang haram kini di’halal’kan oleh pemimpin yang beragama Islam dan dianjurkan oleh sebuah negara yang majoriti rakyatnya berpegang kepada ajaran Islam.
Jika diteliti satu per satu, ajaran Islam itu sendiri bukan hanya untuk orang Islam, malah ia juga terpakai untuk bukan Islam kerana segala yang digariskan adalah bertujuan memberi manfaat kepada umat manusia sekaliannya.
Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya yang halal itu terang (jelas), dan yang haram itu terang dan di antara keduanya terdapat perkara syubhah (yang tidak terang halal atau haramnya) yang tidak diketahui oleh manusia.
........................................................................................................................
Kubur kita nanti memanglah lain-lain, tapi barang diingat bahawa Allah telah bersumpah dengan masa dengan berfirman bermaksud: "Demi masa! Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran"
(Surah al-'Asr, ayat 1-3)










No comments:
Post a Comment